Projektor pada kamera digital

PERKEMBANGAN positif industri pengimejan terus dirancakkan menerusi pengenalan pelbagai fungsi dan teknologi canggih pada produk kamera digital.

Semakin hari semakin banyak syarikat pengeluar kamera tampil menampilkan keunikan dan kecanggihan produk-produk mereka dengan tujuan memberi lebih pilihan dan pengalaman terbaik kepada pengguna.

Syarikat yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam industri berkenaan, Nikon (Malaysia) Sdn. Bhd. (Nikon) baru-baru ini terus memacu kecemerlangan dengan memperkenalkan kamera digital kompak pertama di dunia dilengkapi projektor binaan dalam.

Fungsi yang ditawarkan pada model Coolpix S1000pj itu membolehkan paparan foto yang telah dirakam dapat ditonton secara beramai-ramai dan pada bila-bila masa.

Menurut Pengurus Besar Produk Pengguna Nikon, Stephen Ng, pengenalan produk tersebut menunjukkan komitmen syarikat itu yang sentiasa menawarkan produk berkualiti dan inovatif.

''Pengguna kini tidak hanya memandang kepada resolusi sesebuah kamera sebaliknya lebih mengambil kira tawaran ciri yang dapat memberi mereka keseronokan ketika menjalankan aktiviti fotografi.

''Justeru, melalui fungsi projektor pada model ini, pengguna dijamin dapat menikmati pengalaman paparan imej yang lebih mudah, selesa dan menarik bersama rakan-rakan,'' katanya ketika pelancaran model itu di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Melihat kepada ciri kamera tersebut, ia didatangkan bersama keupayaan rakaman 12.1 megapiksel dengan lima kali pemfokusan optik serta monitor LCD beresolusi tinggi 2.7 inci.

Aplikasi rakamannya juga dipertingkatkan melalui pilihan lima ciri penstabilan imej, pemilihan shot terbaik, sistem potret pintar dan pemilihan babak automatik.

Untuk menjalankan fungsi projektor, pengguna hanya perlu menekan butang khas dan kemudian menghalakan paparan imej atau video pada permukaan rata.

Dengan jarak pancaran dari 26 sentimeter (sm) hingga dua meter, projektor tersebut mampu memaparkan imej bersaiz antara lima hingga 40 inci dengan kualiti VGA bang memberi kepuasan tontonan.

Untuk memudahkan kawalan operasi dan navigasi projektor pula, kamera itu didatangkan bersama alat kawalan jauh serta tiang penyokong.

Dengan tawaran pilihan warna hitam dan silver, Nikon Coolpix S1000pj kini boleh diperoleh dengan harga pasaran RM1,498

Sistem operasi Windows terbaru

Apa kata rakan kongsi komputer mengenai Windows 7

Ketibaan Windows 7 memang tepat pada masanya semasa pengkomputeran mudah alih.

Kami telah bekerjasama erat dengan Microsoft mengenai pembangunan produk masa kini dan masa depan dan mengambil kesempatan ketika ledakan pengkomputeran bagi memastikan landasan Intel dapat digunakan oleh pengguna Windows 7 apabila dilancarkan.

- Pengurus Negara Intel Malaysia, Ryaz Patel

Kerjasama erat dengan Microsoft memastikan produk kami akan sedia dengan Windows 7 apabila dilancarkan.

Adalah menjadi matlamat Acer menjadikan teknologi komputer mudah digunakan setiap hari dan mampu dimiliki oleh semua orang, di mana saja.

- Ketua Jabatan Komputer Meja dan Pelayan Produk, Acer Sales & Services Sdn Bhd, Chan Weng Hong.

Ramai pelanggan bimbang migrasi kepada OS yang baru memakan masa lama dan rumit tetapi Dell telah membantu pelanggan menyedari kelebihan menaiktaraf Windows 7 menerusi integrasi rapat dengan Microsoft.

- Pengurus Besar Negara, Dell Malaysia, Yuri Wahab.

Microsoft adalah pelanggan bernilai dan kami bekerjasama rapat dengan mereka semasa pembangunan Windows 7 bagi memastikan pelanggan mendapat kelebihan daripada ciri terkini.

Landasan Windows 7 membenarkan HP membawa inovasi secara berterusan kepada komputer buku dan meja HP bagi memberikan pengalaman pengkomputeran hebat kepada pelanggan.

- Pengurus Besar Negara, Kumpulan Sistem Peribadi, Hewlett Packard Malaysia, Danny Lee.

Kami menjalinkan kerjasama rapat dengan Microsoft semasa pembangunan Windows 7 dan kami mereka penyelesaian baru bagi ciri terkini sebagai usaha menyediakan pelanggan dengan pengalaman terbaik.

- Pengurus Pembangunan Pasaran, June Gan, Toshiba Asia Pasific Pte Ltd.

Dengan pelancaran Windows 7 tidak lama lagi, sistem operasi Microsoft terbaru ini akan membuka mata masyarakat mengenai pengkomputeran.

Kami menekankan mengenai menjadikan produk lebih baik dengan meningkatkan paras integrasi Microsoft dan menerusi perbincangan dan penyelidikan dengan pelanggan.

- Pengurus Saluran, Pengedar Bisnes Konsumer Lenovo Malaysia, Yap Hui Hui.

Produk Asus dan pembangunan falsafah Microsoft di sebalik Windows 7 boleh dikatakan sangat sepadan dan kami amat teruja dengan pelancarannya.

Kami percaya kerjasama erat dengan Microsoft akan terbalas apabila pengguna merasai pengalaman Windows 7 pada produk kami.

- Pengarah, Produk Notebook, Asus Malaysia, Neo Wang.

Internet mudah alih untuk masyarakat luar bandar

Ericsson mengorak langkah kehadapan dalam membantu masyarakat apabila bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menubuhkan Pusat Inovasi Mudah Alih bagi mempromosikan aplikasi dan kandungan Internet mudah alih kepada penduduk luar bandar.

Syarikat terbabit telah berganding bahu dengan MOSTI menerusi agensinya MIMOS Bhd. untuk mengadakan demonstrasi pelbagai aplikasi berasaskan Internet pada telefon mudah alih pada majlis penerangan kepada pihak media dan masyarakat tempatan di Kota Marudu, Sabah, baru-baru ini.


Aplikasi tersebut, Infosti@Mosti, adalah sebahagian dari program masyarakat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) luar bandar MOSTI yang merangkumi e-kerajaan, e-kesihatan, e-perdagangan dan e-pendidikan.
Sebelum ini, ia telah dipromosikan menggunakan skrin besar atau komputer biasa atau komputer riba.


Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili, MOSTI amat gembira dapat memberikan penerangan tentang aplikasi dan kandungan Infosti@mosti pada landasan mudah alih kepada rakyat Malaysia khususnya masyarakat luar bandar dan kawasan pendalaman.


Beliau yang juga ahli Parlimen Kota Marudu berkata, ini merupakan satu langkah besar untuk membuktikan komitmen kerajaan Malaysia bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam aspek ICT dan arus kemajuan Internet.
''Cara pendekatan kerjasama untuk membangunkan Pusat Inovasi Mudah Alih dengan Ericsson adalah salah satu daripada pelbagai program kerjasama bersama syarikat swasta untuk merangsang agenda ICT 1Malaysia,'' katanya.


Ericsson ialah pemimpin dunia dalam pembekalan teknologi dan perkhidmatan kepada syarikat telekomunikasi.
Menurut Ongkili lagi, bersama Ericsson, MOSTI percaya, pelaksanaan yang pantas dan menguntungkan akan dapat memanfaatkan orang ramai terutamanya masyarakat luar bandar dan kawasan pedalaman.


Ericsson akan menyediakan Platform Penghantaran Perkhidmatan Mudah Alih (MSDP) iaitu elemen terpenting dalam Pusat Inovasi Mudah Alih.
Dengan MSDP, pelbagai aplikasi berasaskan Internet akan dikodkan dan dikemaskini secara automatik untuk disesuaikan dengan pelbagai saiz skrin peralatan mudah alih.
MSDP Ericsson kini merupakan platform penghantaran perkhidmatan terulung di dunia dan menyelenggarakan lebih dari 2,800 jenis peralatan yang berlainan dalam pasaran dengan lebih 70 pusat cawangan seluruh dunia.


Sementara itu, Presiden Ericsson Malaysia, Krishnakumar Guda berkata, pihaknya percaya bahawa masyarakat luar bandar akan melalui pengalaman menggunakan Internet pertama mereka melalui telefon mudah alih berdasarkan kemampuan dan kemudahan penerimaannya.
''Masyarakat luar bandar tidak seharusnya dipinggirkan dan kami yakin terdapat teknologi, kebolehan dan peluang perniagaan untuk memastikan kumpulan masyarakat ini dapat menerima ICT dan budaya inovasi yang diperlukan supaya terus maju.


''Kami amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan kerajaan yang progresif di Malaysia dalam mencapai visi syarikat kami, iaitu untuk memperkasakan rakyat, perniagaan dan masyarakat,'' katanya.